Wednesday, December 23, 2009

Azam dan Istiqamah penentu kejayaan...


RODA masa berputar dengan pantas. Tanpa disedari, kita sudah pun berada pada penghujung 2009 dan tinggal beberapa hari lagi sinar 2010 akan menjelma. Tahun berganti tetapi sebagai umat Islam, tidak lupa untuk berdoa supaya amal kebajikan sepanjang tahun lalu diterima Allah.

Kedatangan 2010 sudah pasti disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Dalam masa sama, kita juga memanjatkan doa pengharapan ke hadrat Ilahi supaya setiap detik kehidupan diiringi taufik dan hidayah Allah.

Bersilih gantinya tahun bermakna umur kita pun semakin lanjut dan ajal maut pula semakin dekat. Oleh itu, setiap Muslim sewajarnya merebut kesempatan yang agak terbatas ini untuk mengisi tempoh kehidupan dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Janganlah terus terpedaya dengan pesona kehidupan dunia yang mengasyikkan dan terjebak dalam kancah kederhakaan kepada Allah.

‘ Tuhan usah bebankan kami dengan bebanan yang berat,
Seperti yang pernah kau berikan kepada umat yang terdahulu dari kami…’

*Ya Allah jauhilah hambamu ini daripada fitnah dunia…. Sesungguhnya hanya kepadaMu hamba menyembah dan hanya kepadaMu hamba memohon pertolongan…

Kebiasaannya, kehadiran tahun baru disambut umat manusia dengan membulatkan tekad dan membina azam baru supaya tahun baru yang menjelang bakal menjanjikan sinar kebahagiaan dan nikmat kejayaan diimpikan.

Malah, setiap manusia yang menghuni alam maya ini mempunyai azam masing-masing yang ingin dilaksanakan dan dijayakan sepanjang 2010. Ada yang berazam menjadi kaya raya, tidak kurang pula yang berazam untuk berjaya dalam hidupnya.

Ada juga berazam meraih kebahagiaan dunia dan akhirat. Pendek kata, azam itu sendiri bersifat subjektif berdasarkan kehendak dan naluri manusia.

Keadaan itu berbeza dengan generasi muda mudi alaf baru yang menyambut kedatangan tahun baru dengan acara sambutan seperti persembahan konsert nyanyian, jamuan tahun baru, pertunjukan bunga api dengan matlamat mencari keseronokan. MasyaAllah…
Bak kata pepatah Melayu, “ buang yang keruh ambil yang jernih.” Renungan, penilaian dan muhasabah diri ini penting dalam kehidupan setiap insan sebelum memasang azam dan seterusnya menjayakannya dalam tahun akan datang.

Meninjau senario masyarakat Malaysia, terlalu banyak bahan renungan dan iktibar yang perlu dijadikan ukuran bermula daripada diri sendiri hinggalah ke peringkat kerajaan. Tahun 2009 menyaksikan pelbagai jenis kepincangan dan keruntuhan, kejatuhan dan kebangkitan, kegagalan dan kejayaan, suka dan duka, pahit dan manis tercatat dalam diari hidup setiap manusia di bumi Allah ini.

Di samping umat Islam bersyukur atas anugerah dan kurniaan Ilahi yang tidak terhingga, mereka seharusnya tidak lupa mengambil iktibar dan pengajaran terhadap segala musibah dan ujian Allah yang menimpa supaya tindakan diambil bagi memastikan ia tidak berulang.

Justeru, awal tahun baru adalah saat dan detik yang sesuai bagi umat Islam berazam, bertekad dan berubah untuk mengakhiri segala macam kemelut, krisis, kepincangan dan musibah yang menimpa mereka.

Dalam erti kata lain, umat Islam perlu berubah menuju ke arah matlamat yang disasarkan, merencana hala tuju dan meraih wawasan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup. Untuk itu, perubahan paling utama dilakukan bermula daripada diri sendiri.

Dalam hal ini, Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”� – (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Maksud ayat suci itu, sesuatu kaum yang hidup senang lenang dan aman damai disebabkan oleh iman dan taat kepada Allah, juga akhlak yang mulia dan terpuji, Allah tidak akan mengubah keadaan mereka yang baik itu sehinggalah mereka sendiri yang mengubahnya.

Jika mereka bertukar daripada iman dan taat kepada kufur dan maksiat, akhlak yang mulia kepada akhlak keji, mereka sendiri yang membawa kepada kehancuran.

Begitulah peraturan hidup yang digariskan Allah. Oleh sebab itu, umat Islam sewajarnya menginsafi bahawa kedudukan, imej dan maruah mereka yang tercalar selama ini adalah berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Jika diimbas sirah Rasulullah SAW sebagai suatu bentuk peringatan dan pengajaran kepada umat Islam, kita dapati betapa Rasulullah SAW sendiri mengalami peristiwa suka, duka, pahit dan manis dalam perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam.

Contohnya, dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW tampil sebagai pemimpin yang mengatur barisan tentera muslimin berjumlah 313 menentang tentera Quraisy yang jauh lebih besar bilangannya, lengkap dengan senjata canggih dan hebat ketika itu.

Namun tentera Islam berbekalkan keimanan kental kepada Allah dan yakin dengan janji Allah di samping strategi peperangan yang tersusun, mereka mampu mencipta kemenangan gemilang menundukkan musuh Islam yang bongkak dengan jumlah ramai dan senjata lengkap.

Berita kemenangan itu sudah pasti menjadi perangsang kepada tentera Islam ke arah menggiatkan usaha penyebaran dakwah Islam ke seluruh tanah Arab.

Ternyata kemenangan tidak selalunya berpihak kepada tentera Islam. Apabila peperangan Uhud meletus, Rasulullah SAW bersama tentera Islam berjuang menentang kaum Quraisy, akan tetapi kali ini tentera Islam mengalami kekalahan walaupun taktik peperangan disusun daripada awal lagi.

Sebenarnya, dalam peperangan itu tentera Islam hampir mencapai kemenangan tetapi pada saat akhir tentera Islam berubah niat dan tujuan iaitu merebut harta rampasan perang yang tersadai berbanding berjuang kerana Allah.

Mereka mula lupa diri dan terus melanggar arahan Rasulullah SAW dan akibatnya tentera Islam berpecah-belah, akhirnya kekalahan berpihak kepada tentera Islam. Dari sini, barulah tentera Islam menyedari betapa kekalahan itu berpunca daripada kesilapan mereka sendiri mengingkari arahan Rasulullah SAW.

Pengajaran paling penting ialah kejayaan dan kemenangan sebenarnya tidak boleh datang dengan sendiri, sebaliknya ia banyak dipengaruhi pelbagai faktor dan sebab yang memudahkan peluang ke arah meraih sesebuah kejayaan diimpikan seperti kekuatan ekonomi, keutuhan sosial, kemantapan akidah, keadilan politik dan juga keluhuran budi pekerti.

kehidupan di dunia ini sarat dengan perjuangan dan pertarungan sengit…
Oleh itu, kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada peraturan Allah. Bagi orang yang beriman, mereka sudah tentu dapat memahami konsep itu kerana mereka betul-betul meyakini bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.

Walau bagaimanapun, setiap Muslim mesti menyedari bahawa kejayaan masih terikat dan bergantung kepada sebab musabab iaitu azam, tekad, daya usaha, kesungguhan, istiqamah dan persediaan yang dilakukan pada peringkat awalnya.

Pendek kata, kemenangan dan kegagalan, kebangkitan dan kejatuhan serta kemajuan, semuanya bertitik tolak daripada keazaman kental, keimanan yang kukuh, keluhuran budi dan ketakwaan yang jitu kepada Allah.

Semoga kita sama-sama memuhasabah diri dahulu sebelum memulakan azam baru kita untuk melangkah ke tahun 2010.

Saya ingin memohon seribu kemaafan daripada sahabat-sahabat semua andai ada salah dan silap, sesungguhnya saya adalah manusia biasa dan hamba yang hina mana mungkin dapat lari daripada melakukan kesilapan…


WaAllahualam…
Assalamualaikum...

No comments:

Post a Comment