Friday, October 28, 2011

HIMPUN & KARNIVAL ILMU ANAK MUDA


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala Puji Bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, seluruh ahli keluarga baginda dan sekalian para sahabat baginda.

Sama-samalah kita perbaharui syahadah

AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH
DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH

Alhamdulillah, baru-baru ini ana berkesempatan pergi ke HIMPUN dan Karnival Ilmu Anak Muda pada 22 Oktober 2011 di Stadium Malawati Shah Alam bersama saudara dan adik beradik perempuan. Tujuannya untuk sama-sama menyokong dan membuktikan bahawa generasi muda amat prihatin kepada isu aqidah islam dan masa depan tanah air kita. Walaupun ia bukanlah sebagai penyelesai masalah akidah umat Islam Malaysia dengan hanya berhimpun selama 2 jam itu. Ini kerana anak muda lah bakal menjadi pemimpin yang dapat menggubal undang-undang enakmen akidah bagi membendung gejala murtad.

Kehadiran ana dalam program HIMPUN ini bukanlah atas nama sesuatu NGO atau jamaah atau parti politik tapi sebagai seorang muslim yang ingin menyatakan sokongan terhadap program islam seumpama ini sebagai tanda sensitiviti kita terhadap isu akidah. Pengalaman berada dalam Himpunan sejuta umat di Stadium Malawati tersebut membuka peluang kepada ana untuk memerhati dan bersama-sama menyokong usaha murni pihak penganjur. Apa yang menarik perhatian ana adalah non-muslim juga hadir dalam HIMPUN tersebut walaupun tidak sampai sejuta umat yang hadir.

Suara saudara Badrul Sani sebagai pengacara majlis yang lantang melontarkan suara bagi menaikkan semangat para hadirin yang hadir mampu menghidupkan majlis tersebut. Tambahan lagi apabila pemidato-pemidato berbicara lantang menyuarakan berkaitan isu murtad di Malaysia membuka minda para hadirin yang hadir.

Tidak sangka pula, ustaz Mohd Farhan Abdullah yang merupakan mantan paderi kristian di Sabah yang bersama-sama ana ketika program dakwah di Sabah pada tahun 2009 muncul sebagai salah seorang pemidato pada hari itu dengan mendedahkan bagaimana cara atau strategi kristian memurtadkan orang-orang islam dan masyarakat Sabah dan Sarawak kerana beliau sendiri pernah memurtadkan orang islam ketika beliau menjadi paderi sebelum memeluk islam. Namun kini, beliau telah mengislam ramai non-muslim terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Berbicara soal isu murtad ini, ana teringat satu peristiwa ketika mana ana dan sepupu ana pergi ke tandas semasa program HIMPUN sedang berlangsung. Cari punya cari….tandas yang kami jumpa hujung sekali jauh dari kawasan orang awam. Semasa ana masuk ke tandas tersebut ana ternampak seorang wanita sedang memegang risalah yang mempunyai tanda salib yang besar berwarna kuning. Mula-mula tu ana merasa pelik dan perasaan ingin tahu tu semakin membuak-buak, tiba-tiba ana ternampak banyak sangat risalah yang bertanda salib tu diletakkan di tandas tersebut. Ana dan sepupu ana cepat-cepat tengok risalah tersebut dan membaca ayat-ayat di belakangnya. Antara ayat-ayat tersebut berbaur memerli ahli politik parti pembangkang dan sultan. Apabila ana selak risalah tersebut ia seolah-olah ingin mendedahkan tentang strategi orang kristian untuk memurtadkan orang-orang islam dan dalang disebaliknya. Namun, belum sempat ana dan sepupu ana membacanya dengan detail, dua orang urusetia program HIMPUN datang dan mengutip semua risalah tersebut.

Dalam fikiran ana siapakah yang membuat risalah tersebut? Hm..WaAllahualam. Namun, risalah tersebut tidak diedarkan kepada para hadirin yang hadir. Mungkin itu adalah satu usaha pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin memburukkan imej HIMPUN tersebut.

Walau bagaimanapun, program HIMPUN tersebut berjalan dengan lancar.
‘Marilah lapangkan dada anda, hentikan prasangka, mari kita sama-sama keluar dari kemelut umat yang membelenggu kita dan kita melangkah seiringan untuk menegakkan agama islam tercinta. Apalah erti kita bersengketa sambil melebarkan senyuman golongan penentang islam.’ Itulah bait-bait ayat yang ana terkesan mendengarnya.

Teringat ana pada beberapa petikan ayat dari buku At-Tibyan dalam mentafsir Al-Quran ‘SURAH AS SAFF’ tulisan Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang.

“Kita telah menyatakan bahawa tugas gerakan islam adalah tugas para Anbiya’ dan Mursalin, atau dengan perkataan lain tugas gerakan islam hari ini adalah menyambung risalah Nabi Muhammad s.a.w yang di antara lainnya ialah menyatukan umat manusia di bawah panji-panji La ilaha illallah.

Soalnya sekarang ini, bagaimana jamaah islam itu hendak menjalankan tugasnya sedang ia sendiri menghadapi masalah, iaitu masalah berbilangnya jamaah islam. Apakah jamaah-jamaah itu tidak dapat disatukan? Mungkin dengan senang hati kita nyatakan tentunya boleh disatukan dengan syarat, jika semua pihak menginsafi keadaan yang ada dan bersedia untuk kembali ke pangkal jalan.

Kita kembali ke pangkal jalan dengan ertikata bahawa setiap perkumpulan atau jamaah yang ditubuhkan atas dasar tidak puashati terhadap jamaah yang sedia ada, bersedia kembali kepada jamaah asalnya dan sama-sama membetulkan sesuatu yang ia rasa tidak puas hati itu.”


Banyak lagi pengalaman yang ana ingin kongsikan namun cukuplah sekadar ini sahaja dahulu, semoga perkongsian yang sedikit ini mampu membuka minda kita dan sama-sama fikirkan. 
Yang baik itu datangnya dari Allah, manakala yang buruk dan lemah itu datangnya dari diri ana sendiri.

Waallahu’alam. 



Wednesday, October 26, 2011