Tuesday, October 11, 2011
SEDARLAH WAHAI MUJAHIDAH
Friday, July 29, 2011
Rumah Allah di Akhir Zaman...

Assalamualaikum w.b.t
salam mujahadah buat sahabat semua. syukur kepada Allah kerana memberi ana ilham untuk berkongsi sedikit nukilan di blog ini. Lama rasanya tidak menulis, semoga kita sama-sama istiqomah dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam lapangan kehidupan.
Alhamdulillah, semakin hari tanggungjawab semakin besar..rasanya baru sahaja diri ini menjadi kanak-kanak kecil yang bebas gembira bermain-main di halaman rumah, bersama-sama kawan pergi menangkap ikan, main masak-masak dan main hujan bersama adik-adik... MasyaAllah...cepat sungguh masa berlalu.
Segala memori sewaktu kecil sering bermain difikiran...alangkah indahnya hidup sebagai seorang kanak-kanak. Namun, Allah menjadikan manusia untuk menjadi khalifah dimuka bumi ini dan beribadah kepadaNya serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Kembali kepada tujuan dan matlamat hidup sebagai hamba Allah..
Kehidupan di rumah sewa, semakin menuntut ana untuk belajar berdikari dan mencari... dulu, ketika di asrama IPG KDRI kuliah agama tersedia di depan mata..hanya perlu melangkah kaki tidak sampai 5 minit untuk ke Balai Islam. Solat berjemaah berlumba-lumba ke Balai Islam untuk menyahut seruan Illahi. Azan subuh berkumandang mengejutkan lena yang panjang dikala subuh. Bacaan Al-Mulk sayup-sayup kedengaran sebelum mata terlena...Indahnya saat itu...ramai yang ingin memberi hanya perlu menerima sahaja.
Tapi, keadaannya berbeza sekarang... segala yang terhidang dulu kini perlu dicari..andai kekuatan dalam diri tidak ada maka terhanyutlah dibuai nikmat dunia yang sering melupakan serta melalaikan. Ya Allah, berbezanya dulu dan sekarang.... ketika melangkah kaki ke salah sebuah masjid berdekatan dengan rumah sewaku...alangkah sayunya....hanya 5, 6 orang tua yang kulit berkedut, berjalan bongkok, berada disoff hadapan... ana tertanya-tanya...mana pergi mujahidah-mujahidah? mana pergi anak muda yang bertenaga? mana pergi anak muda yang berjalan tanpa perlu dipimpin dan dipapah? MasyaAllah....ana beristighfar panjang dan muhasabah diri..
Rumah Allah yang tersergam indah namun hanya sedikit sahaja jemaahnya... inikah tanda-tanda kiamat...Ya Allah, teguhkanlah hati-hati ini dalam mengimarahkan rumahMu, dekatkanlah hati-hati ini agar mencintai rumahMu, tetapkanlah hati-hati ini agar beristiqomah dalam menyahut seruan azanMu untuk berjemaah di rumahMu. Agar Islam bangkit dalam jiwa masyarakat kini. jangan jadi orang melayu, tapi jadilah orang islam... kerana melayu mudah lupa...
sayu dan malu rasa diri ini apabila melihat seorang jemaah muslimat yang sudah lanjut usianya berjalan kaki pulang ke rumah dari masjid...melintas jalan yang gelap... mana pergi anak-anak muda kini.... tidak malukah kita pada mereka???
tepuk dada,tanyalah iman...
WaAllahu'alam
sekadar perkongsian bagi mengingatkan kembali tujuan dan matlamat hidup ini... marilah sama-sama kita muhasabah diri...
Sunday, May 22, 2011
LEBAH VS LALAT...


salam perjuangan sahabat2...(^_^)
Jom rehatkan minda....
Perkongsian Hari Ini..
Kita kena jadi seperti lebah, sebab apabila lebah mencari manisan, dia akan pergi ke setiap bunga sama ada bunga itu wangi atau busuk. Tapi dia tetap akan mengambil manisan dari bunga tersebut dan akhirnya manisan dapat dikumpul dalam sarang dan jadilah MADU, yg menjadi syifak(ubat). Begitu juga kita, kita harus mencari kebaikan setiap saudara (seislam) kita supaya kebaikan akan terkumpul dalam diri kita...
Dan jangan kita jadi seperti lalat, kerana lalat akan pergi mencari ke tempat kotor dan mengumpul kuman dan kekotoran sehingga kekotoran itu melekat pd dirinya SENDIRI. begitu juga kita, kita dilarang sama sekali melihat keburukan yang ada pada saudara (seislam) kita supaya keburukan itu tidak terkumpul pada diri kita.
kesimpulannya... Janganlah kita suka melihat dan mencari keburukan orang lain sahaja... carilah kebaikan yang ada mereka hatta orang yang mengganggap kita sebagai musuh... mudah-mudahan apabila melihat kebaikan orang lain, kita cuba untuk memperbaiki diri yang penuh dengan kekurangan ini...
ReNunG-ReNunGkaN dan SeLaMat BeRaMaL...(^_^)
Thursday, May 19, 2011
Misi baru menanti...
Semoga segala kerja yang kita lakukan semata-mata kerana Allah... Alhamdulillah, 1 paper selesai dijawab, tgl lg 4 paper...semoga dipermudahkan. sahabat-sahabat maafkan segala kesilapanku andai ada mengguris hatimu dalam keadaan sedar dan tidak sedar, sengaja dan tidak sengaja, lupa dan tidak tahu.... maafkan diriku...
InsyaAllah, 1 penghijrahan mesti dilakukan. apa yang dah berlaku jadikan pengajaran untuk belajar bangkit dan perbaiki setiap kelemahan diri. kata orang jangan jadi 'mulut tempayan' tapi bila diamati semula...hm...mulut tempayan masih boleh ditutup-tutup tapi mulut manusia tak siapa boleh tutup...itulah antara bait kata-kata semangat dari naqibahku kak Hanisah Wanasan ketika diri ini menghadapi pelbagai tamparan dalam hidup. InsyaAllah...asam garam dalam kehidupan ini mengajarku menjadi lebih tabah dan matang. tak mampu nak puaskan hati semua orang walau kita cuba menjaga sebaik mungkin. apa yang penting adalah kembali kepada Allah...kembali kepada matlamat hidup... kembali mencari hakikat kejadian diri...
Alhamdulillah...setelah sekian lama tidak berhubung dengan rakan-rakan di sekolah menengah Puchong. baru-baru ini ana mendapat mesej...ada 2 org rakan ana yang meminta untuk ana ajarkan mereka mengaji waktu cuti ini... ana bersyukur mereka masih lagi diberi kesedaran untuk kembali kepada matlamat hidup sebagai hamba Allah. Misi Dakwah menjejak rakan-rakan lama... alangkah indahnya kalau dapat wujudkan 1 usrah bagi mereka...
Rakan ana ni memang sosial...di sekolah dulu ana bukan hanya berkawan dengan budak baik-baik je..ana cuba juga dekati kawan-kawan yang sosial ni...mereka tidak minat belajar..solat tak tahu ke mana ngaji apatah lagi...tapi bila diberi nasihat selalu me'lable'kan sebagai ustazah.. ana selalu doakan kawan-kawan ana ni diberi taufiq dan hidayah, Alhamdulillah...fitrah manusia pasti akan kembali kepada penciptaNya,.. dulu bila terserempak dalam bas je ana akan sentiasa bagi nasihat dan dorongan pada rakan ana ni supaya dekatkan diri dengan Allah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. mereka hanya dengar dan diam...mereka nak berubah tapi jalan yang mereka pilih salah...
Apabila teringat akan sekolah menengah, tiba-tiba teringat akan sek men ana yang kedua, iaitu ketika tingkatan 4 dan 5 di Damansara Utama...lebih mencabar... kawan2 yang free hair, bergaul bebas, dan ada juga yang pernah jejakkan kaki ke pusat hiburan (disko) nauzubillah.... Itulah kelemahan pendidikan di negara kita, hanya menekankan pada exam je.. akhlak ntah ke mana... di sekolah ni ana banyak belajar cara untuk bertahan dan istiqamah dengan keadaan sekeliling yang bukan sefikrah... pernah sekali sahabat lama ana dari sek men puchong bertanya ana masih lagi ke bertudung labuh? bagaikan rusa masuk kampung, belajar untuk berdikari dan berpegang pada prinsip...walaupun terasa asing tapi cuba untuk bertahan.... ada juga yang memerli dan mengejek perihal tudung labuhku yang kelihatan asing di sekolah tersebut... selain itu, ada juga seorang lelaki non-muslim yang mempersoalkan pada ana 'tak panas ke you pakai tudung labuh ni?' sambil memakai tudung yang dijumpainya di dalam laci kelas yang ditinggalkan oleh perempuan yang free hair dan hanya memakai tudung ketika kelas pendidikan islam sahaja. istighfar panjang ana.... ana jawab, islam tidak pernah menyusahkan bahkan dengan memakai tudung ana rasa lebih selamat dan terjaga. seorang wanita muslim perlu menjaga maruah dan kehormatan diri...
Ada juga yang bangga dapat melancong ke seluruh negara...maklumlah sekolah itu ramai pelajar elit.. ada seorang kawan ana ni dia free hair dan berasal dari keluarga berdarah raja.. always speaking.. 'munirah....my hair look mazy?' tercengang ana dengan soalan tu...hmmm... pernah ditanya pada ana 'munirah dah pernah melancong ke mana?' ana tak jawab terus tapi ana bertanya soalan tu kembali pada dia... jawapan dia ' I pernah pergi Switzerland, America, Korea, Jepun, Australia and banyak lagi..and you know that I have 1 house at Australia its like my village' hm...lagi2 la ana terkejut....bukan apa segan nak cakap yang masa tu ana tak pernah pun naik kapal terbang..huhu;( tapi...1 je ana terkilan..dalam banyak2 negara yang dia sebut tu "Mekah" takde... inilah realiti kehidupan di luar sana...
Bila teringat kisah-kisah di sekolah dulu banyak pengajaran yang ana boleh dapat.... yang mungkin tidak semua orang dapat rasai... Alhamdulillah apabila dapat masuk ke IPG KDRI ana berjumpa dengan kakak-kakak dan sahabat sefikrah, ana berasa sangat bertuah dan cuba memanfaatkan peluang yang ada untuk mendalami ilmu agama dan belajar untuk menghadapi ujian yang lebih mencabar... InsyaALLAH.
Semoga misi dakwah ini tercapai....
sebagai coretan luahan hati atas kesyukuran yang tidak terhingga apabila mendengar khabar baik ini. sekadar perkongsian...semoga mendapat manfaat walaupun sedikit daripadanya, Waallahu'alam.
Wednesday, May 11, 2011
Ujian & Dugaan. Sunnah Allah!

Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah, bersyukur kehadrat illahi kerana masih memberi peluang kepada ana untuk meneruskan perkongsian di dalam blog ini setelah sekian lama menyepi...
sepi...bukan kerana lari dari medan ini walau diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan, ana percaya setiap ujian dan dugaan yang melanda dalam diri seorang da'ie adalah SUNAH ALLAH.
Imam Hassan Al-Banna memberitahu bahawa;
'Sudah pasti akan berlaku ke atas kita SUNNAH ALLAH yang berupa ujian dan dugaan.'
Janganlah kita menganggap ujian dan dugaan yang diturunkan adalah satu natijah atau hasil dari kesalahan yang dilakukan oleh seseorang pendakwah. Adakah boleh diterima kalau dikatakan bahawa Rasulullah dan para mu'minin yang bersama baginda serta para rasul yang menghadapi gangguan dan penyeksaan itu sebagai natijah atau hasil dari kesalahan yang terbit dari mereka??.
Hakikatnya ialah musuh-musuh Allah memerangi dan menghalang para da'i yang benar hanyalah kerana mereka takut yang haq(benar) itu akan menghapuskan kebatilan mereka.
Jalan dakwah itu dipenuhi dengan duri dan ranjau, bukan ditabur dengan bunga-bungaan. sebagai pendakwah perlulah bersabar menanggung penderitaan dan melangkahi segala halangan tanpa berhenti, tanpa lemah dan bersabar menanggung penderitaan disamping memohon pertolongan dan kekuatan dari Allah.
Sahabat...janganlah disebabkan ujian, kita berhenti dari berdakwah kepada Allah, berhenti dari kegiatan dakwah, agar tidak lagi berhadapan dengan ujian yang berupa gangguan, tohmahan, fitnah dan pencerobohan. jelas kepada kita bahawa Rasulullah yang juga pemimpin kita menyeru orang-orang musyrikin juga menghadapi pelbagai gangguan dan penyeksaan. Tetapi baginda tidak pun berhenti dari menyebarkan dakwah. Tidak berhenti dari kegiatannya walaupun terdedah kepada gangguan dan penyeksaan berkali-kali dan berturut-turut.
" Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada orang lain yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu ( tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu? kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mu'min bertawakal" (surah Ali-Imran:100)
Apabila berbicara soal ujian dan dugaan, ana yakin mereka yang berada di atas jalan dakwah ini tidak akan lari dari difitnah. Ana tertarik dengan sepotong ayat daripada buku Jalan Dakwah tulisan Mustafa Masyhur iaitu antara azab Allah dan fitnah manusia. Antara keduanya terdapat perbezaan yang sungguh besar. 'Lebih baik kita pilih fitnah manusia untuk mengelak daripada 'azab Allah dan janganlah kita samakan fitnah manusia dengan 'azab Allah'.
Damaikanlah hatimu wahai sahabat-sahabat seperjuanganku.... teguhkan hatimu.... yakinlah kemenangan bersama orang-orang yang bersabar.
Masa yang ada pada kita adalah sedikit untuk berlatih sedangkan jalan yang akan ditempuhi amat jauh. banyak pula halangan dan rintangannya tetapi itulah satu-satunya jalan yang boleh sampai kepada tujuan dan mendapat ganjaran yang banyak dan pahala yang baik-baik.
Memang....
Kita tidak minta diuji,
Tidak minta berhadapan dengan musuh,
Malah kita memohon kepada Allah supaya kita sentiasa berada dalam aman selamat.
Tetapi....
kalau sudah terserempak dengan musuh,
Terdedah kepada gangguan dan penyeksaan,
kita harus tabah dan cekal tidak berganjak, tidak lemah...
Sirah Rasulullah banyak menceritakan kisah bagaimana baginda dan orang-orang muslimin menghadapi fitnah dan penyeksaan di tangan pihak musyrikin di Makkah, hingga gugur syahid Yasir dan isterinya radiyallahu 'anhuma. kita semua tahu kisah bagaimana Rasulullah ketika melalui tempat Yasir dan anak isterinya sedang diseksa, baginda tidak berbuat apa-apa selain dari berkata kepada mereka:
" Bersabarlah wahai keluarga Yasir, syurga telah dijanjikan kepada kamu". Padahal kalau dikehendaki Allah nescaya dilindunginya orang-orang beriman itu dari penyeksaan pihak kafir.
Tetapi ini tetap berlaku kerana SUNNAH ALLAH ke atas mereka.
Baginda pernah menjawab soalan daripada muslimin yang meminta supaya Rasulullah memohon pertolongan untuk mereka ketika menghadapi ujian. Baginda menjawab: " Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditanam dalam tanah kemudian dibawa gergaji dan digergaji dari kepalanya hingga ke bawah hingga terbelah dua. Ada yang disikat besi sekali dengan daging dan tulangnya."
Sahabat.... APAKAH KAMU AKAN MUNDUR LARI???
sama-samalah kita memuhasabah diri dan beristighfar andai terdetik di dalam hati untuk meninggalkan jalan dakwah ini.
walau sehebat manapun ujian yang diberi....Redhalah... hadapinya dengan senyuman kerana sesungguhnya musuh-musuh islam gementar dan gurun melihat kita senyum. Mereka suka melihat kita stress, murung dan lemah.
Hanya sedikit perkongsian bagi mengisi hati-hati kita yang mungkin sedang berperang untuk menghadapi peperiksaan... walau bagaimanapun, kita perlu sedar dan faham kedudukan sebagai hamba Allah hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allahlah yang menentukan. Justeru, banyakkanlah mengingati Allah dengan membaca Al-Quran dan bermunajat kepada Allah. Mohonlah agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Dan yang paling penting adalah meminta restu Mak Abah(^_^)
" Jika Kau Tewas di Medan JIHAD,
Gelaran Syuhada Allah Memberi,
Arwah-arwah pahlawan senyum melihat,
MUJAHID Bangga Melepas Pergi"
Waallahu'alam... ~Bersedia ditarbiyyah untuk mentarbiyyah~
Sunday, March 27, 2011
KEMBALIKAN ROH PERJUANGAN YANG SEMAKIN PUDAR ITU

Salam mujahadah buat sahabat sekalian..
Pertama sekali, ana bersyukur kerana telah berjaya menyelesaikan pengalaman berasaskan sekolah(PBS) di SK Taman Johor Jaya III. Insyaallah perjalanan jauh ke Johor tersebut tidak sia-sia dengan pengalaman yang ana dapat ketika berada di sekolah tersebut. Pada minggu lepas pula ana telah selesai satu projek lawatan ke persidangan Parlimen Malaysia di KL dan sempat menemuramah YB-YB dari pihak kerajaan dan pembangkang. Walaupun agak terkilan kerana ketika melangkah masuk ke dewan persidangan parlimen ana melihat kelibat seorang YB yang tidur.
Namun, dalam kesibukan menyelesaikan tugasan assignment dan projek-projek, ana sedar akan amanah yang lebih besar yang Allah telah berikan kepada kita untuk mengislahkan diri dan mad’u masing-masing. Bahkan lebih besar dari itu adalah untuk mengislamisasikan keadaan dan menempuhi cabaran dengan keimanan. Sekarang ini bukanlah masa untuk kita memikirkan soal hiburan, kesenangan dan apatah lagi persoalan tentang hati yang akan menyebabkan roh perjuangan semakin pudar. KEMBALIKAN ROH PERJUANGAN YANG SEMAKIN PUDAR ITU..
Insyaallah, ana yakin setiap dari kita pasti mempunyai matlamat hidup untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Kali ini ana ingin membawa sahabat-sahabat kembali kepada matlamat dan tujuan sebenar usrah.
Sebelum itu, adakah antum semua tahu apakah yang dimaksudkan dengan “usrah”? perkataan usrah berasal dari kalimah Bahasa Arab yang bererti keluarga. Secara umumnya ia adalah untuk menunjukkan adanya hubungan atau ikatan persaudaraan sesama manusia. Namun, dalam konteks harakiah Islamiyyah usrah bererti satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan akidah (kesatuan keimanan), kesatuan pemikiran (fikrah), kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib serta kesatuan cita-cita perjuangan untuk berkerjasama bagi membolehkan kerja-kerja amal jama’i dan amal islami dilaksanakan dengan teratur sehingga tertegaknya Daulah dan khalifah islamiyyah.
Itulah ikatan aqidah, yang merupakan ikatan yang paling bersih dan paling mulia, kerana aqidah inilah yang menjadi kayu pengukur bagi menentukan kebenaran sesuatu sistem dan matlamat hidup manusia.
Harakah Islamiyyah akan memperoleh keuntungan yang sangat besar andai anggota-anggotanya terdiri daripada orang-orang yang mempunyai kefahaman islam yang baik, memiliki sahsiah yang mulia dan menarik, dan memahami tatacara bergerak dalam jemaah islamiyyah, serta mampu membawa fikrah jema’ah.
Oleh itu, salah satu dari institusi tarbiyyah yang paling penting ialah USRAH. Justeru, tujuan utama usrah merangkumi beberapa perkara bagi melahirkan individu yang TAHU, MAHU & MAMPU. Antara matlamat usrah yang perlu diketahui oleh setiap naqib dan naqibah adalah;
1) memberi kefahaman yang benar dan jelas terhadap Tasawwur Islam.
2) meningkatkan penghayatan a’mal Islami dan menghidupkan rasa tanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan kemuliaan dan ketinggian ajaran islam sama ada secara peribadi (fardi) atau berjemaah (jama’i)
3) menjalin dan mengukuhkan ikatan ukhwah dan persaudaraan dan memupuk semangat bertindak dan bekerja secara jamaah.
4) membina aqliyyah jama’iyyah di kalangan anggota.
5) menyalurkan arahan-arahan jama’ah dalam mengislahkan masyarakat.
6) menggiat dan menyelaraskan usaha untuk mempelajari selok belok perjuangan dari pengalaman gerakan islam seluruh dunia.
7) mendidik, memupuk bakat serta mengeluarkan aktivis-aktivis yang benar-benar mampu dan teguh pendirian serta sihat tubuh badan, sempurna dalam pemahaman ilmu serta akhlak.
8) memastikan bahawa yang bakal menempati saff pimpinan ialah orang-orang yang layak, jujur dan ikhlas. Memastikan bahawa orang yang memegang pimpinan adalah Arrajulul Munasib fil Makanil Munasib(orang yang layak di tempat munasabah)
9) memastikan bahawa barisan perjuangan tidak dimasuki oleh pemikiran yang sumbang dan musuh.
10) berusaha meningkatkan bentuk penyusunan organisasi yang piawai atau mampu menghadapi tahap-tahap perjuangan tanpa diserapi oleh anasir pemecah yang menggugat harakah.
Persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk memegang amanah ini?? jadikanlah jawatan atau amanah yang ditakhlifkan sebagai medan untuk menggondol anugerah Allah dan mempertingkatkan amal. Insyaallah matlamat di atas boleh kita kaitkan dan sesuaikan dengan suasana di bumi IPG KDRI. Semoga menjadi satu peringatan kepada ana dan sahabat-sahabat naqib dan naqibah untuk muhasabah dan mujahadah. Setiap ‘amal kerja yang telah berlaku perlu dinilai dengan neraca syari’at Ilahi. Amal da’wah dan tarbiyyah lebih perlu dinilai supaya ia dapat diperbaiki dan dibersihkan agar da’wah benar-benar menjadi bersih dan murni. Seorang penda’wah juga manusia biasa, tidak terlepas dari kesilapan, justeru itu dia perlu menghisap dan memperbaiki diri apabila terlanjur membuat sesuatu kesilapan. Sifat sanggup menegur dan memperbaiki diri adalah sifat yang baik dan terpuji.
Renungilah kata-kata Saiyyidina Umar Al-Khattab:
“ Hitunglah diri kamu, sebelum kamu dihitung di hadapan Allah, dan timbanglah ‘amal diri kamu sebelum kamu ditimbang di hadapan Allah.”
sesungguhnya seseorang mujahidin dan da'ie itu sentiasa berada di ambang 5 perkara sukar iaitu:
1) orang-orang mukmin yang dengki pada kita
2) orang-orang munafik yang benci pada kita
3) orang-orang islam yang suka memerangi islam
4)syaitan-syaitan yang sentiasa menyesatkan kita
5) nafsu-nafsu yang sentiasa berusaha mengalahkan kita.
peliharalah Allah, maka Allah akan pelihara kita...
Waallahu’alam,
Bersedia ditarbiyyah untuk mentarbiyyah.
Insyaallah untuk entri akan datang ana akan berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang Gerakan islam dan gerak kerja golongan wanita. Semoga dipermudahkan…
Sekian, wassalam.