Thursday, February 24, 2011

Mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT


Assalamualaikum wahai sahabat2 seperjuanganku..semoga kalian sentiasa berada di bawah lindungan Allah.

Seseorang di sini maksudnya adalah seorang muslim. Kita menganggap semua kaum muslimin adalah saudara, namun tahap persaudaraan dan rasa cinta kepada mereka berbeza-beza, sesuai dengan ketaatannya kepada Allah SWT.

Kita disuruh untuk menjauhi orang yang sering melakukan perbuatan derhaka. namun, sebaliknya orang yang mentaati Allah, harus dicintai dan didekati.

Walau bagaimanapun, kadangkala kita menemui orang yang terus menjauhi orang lain yang melakukan kesalahan kecil serta terus secara membuta tuli memberikannya gelaran fasik, dan melemparkan pelbagai macam tuduhan kepadanya. Malangnya...orang sebegini merupakan tanda bahawa dirinya tidak begitu memahami agama. padahal kita disuruh untuk bersikap wajar dan pertengahan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah: 269 yang bermaksud:
" Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."

Hikmat adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. seperti, menempatkan orang lain sesuai dengan kedudukan serta tingkat kedekatannya kepada Allah.

Dalam hadis telah dinyatakan bahawa di antara tujuh orang yang mendapatkan naungan Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya adalah:

" Dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah." (HR Bukhari dan Muslim)

Agama islam adalah agama pembuktian, kepatuhan, bukan agama pengakuan semata-mata. jadi bukan perkara pelik jika kita melihat orang hina yang mendirikan solat, berpuasa, menunaikan haji dan umrah, namun berteman akrab dengan orang yang suka berbuat kerosakan dan kemungkaran.

Orang yang bertaqwa wajib mencintai orang soleh dan membenci orang yang suka berbuat maksiat, meskipun orang yang melakukan maksiat tersebut adalah saudaranya. sebab, Rasulullah bersabda:

"Seseorang itu sesuai dengan agama temannya" (HR. Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Hakim)

Seorang penyair berkata:
Tentang seseorang jangan bertanya siapa dia sebenarnya
Akan tetapi tanyalah tentang kawan sepergaulannya
Kerana setiap kawan itu mencontohi siapa yang ditemaninya.


berdasarkan kenyataan di atas, orang yang pemahaman agamanya tinggi adalah orang yang layak dijadikan teman. sebab orang yang memahami agama serta mengamalkan ilmunya-sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hassan- akan menjaga kita ketika ada mahupun ketika kita tidak ada di hadapannya.

kewajipan orang muslim adalah mencintai orang soleh dan musleh, mendekati mereka, dan tidak membenci mereka. Membenci mereka sama dengan membenci sunnah, mengingati sifat-sifat yang dimiliki orang soleh bertepatan dengan sunnah.

Akan tetapi...kalau membenci mereka kerana perilaku yang tidak sesuai dengan islam seperti kasar,keras,dan kejam maka dibolehkan.

Namun, kewajipan kita adalah menasihati dan menerangkan kesalahan mereka. Sebab, mereka semua adalah manusia yang kadang-kadang berbuat benar dan kadang-kadang berbuat salah.

Iman Syafi'i berkata:

Aku mencintai orang-orang soleh
Sekalipun aku bukan sebahagian daripada mereka
Aku berharap mendapatkan syafaat dari mereka
Aku benci orang yang gemar melakukan maksiat
Sekalipun aku juga pernah melakukannya.

lihatlah sahabat-sahabat bahawasanya, persahabatan itu sungguh indah andai ia didasari dengan keimanan yang benar-benar mantap kepada Allah. Oleh itu, untuk mencintai dan dicintai oleh orang-orang yang soleh maka kita juga perlulah berusaha untuk menjadi seorang muslim yang soleh dan musleh..Insyaallah(^_^)

Sahabat-sahabatku...Aku mencintaimu kerana Allah, semoga perjuangan kita sentiasa mendapat keredhaan daripada Allah SWT.
Anak-anak usrahku, aku mencintaimu kerana Allah..
coretan buat anak usrahku:
Dindaku,
Maafkan aku kerana tidak selalu di sisi kalian,
tidak selalu menghiburkan,
malah aku sering menyakitkan,
kebajikan kalian seringku abaikan.

Dindaku,
aku ingin memohon ampun dari kalian,
seandainya aku bukan yang kalian mahukan,
Bukan aku tidak mahu berikan ganjaran,
kerana aku mahu kalian tahu hadiah bukan sandaran.

Dindaku,
tidakku harap pada sanjungan,
Tidak juga pada pujian,
Cukuplah sekadar kalian hiaskan,
Diri kalian dengan keimanan.
Wa'Allahualam.






Saturday, February 5, 2011

Apabila Ibadah Hilang Manisnya

Ibadah adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah, baik ibadah-ibadah khusus yang mempunyai aturan-aturan tertentu yang telah digariskan mahupun ibadah-ibadah umum yang lebih luas dan subjektif. Selagi mana sesuatu kebaikan itu dilakukan kerana Allah dan tidak bertentang dengan aturan Allah, maka ia termasuk dalam ibadah.


Firman Allah yang bermaksud :


"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku."


(Adz-Dzaariyaat: 56)


Ibadah, baik yang wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih nikmat dan indah dalam hidup ini. Setiap kali masuk ke dalam solat, hatinya merasa sungguh tenteram bersama Tuhannya. Apabila keluar daripada solat, hatinya selalu rindu untuk menghadapNya lagi. Tatkala kalam Ilahi dilantunkan, hatinya luluh sehingga mengalirlah butir-butir air daripada pelupuk matanya. Bahkan apabila bibirnya sendiri membaca Al-Quran, hatinya semakin teguh untuk melangkah dalam kehidupan. Itu belum bercerita tentang hal keadaan hamba yang begitu asyik merintih dan memohon rahmat Tuhannya di balik tirai malam. Semuanya terasa begitu mententeramkan, sepatutnya.


Namun, adakah kita sentiasa merasakan segala keindahannya ketika kita sendiri melakukan ibadah-ibadah tersebut dan ibadah-ibadah lain juga? Sejahat-jahat manusia, pasti tetap merindukan ketenangan yang hanya boleh dikecap apabila dia kembali kepada Tuhannya. Sebaik-baik manusia, pasti sesekali merasa malas untuk beribadah kerana hilang asyiknya. Persoalannya, bagaimana kemanisan tersebut boleh lenyap dan bagaimana kita boleh mengecap kemanisannya?


Persoalan khusyuk dalam solat adalah sebuah persoalan yang sangat utama dalam kehidupan. Apabila kita dapat mengecap nikmat khusyuk dalam ibadah terbaik tersebut, pastinya kita bakal memperoleh ketenangan yang luar biasa di luar solat. Kita akan belajar untuk khusyuk menyembah Allah dalam segenap aspek kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah, Dr. Ibrahim Shogar di UIAM Kuantan tentang bagaimana untuk khusyuk. Katanya, "It is very difficult for you to achieve khusyuk at this age of yours (20-an) when you have so much to think and to achieve. What you have to do is keep trying". Memikirkan kembali kata-katanya, ada betulnya. Namun, sudahkah we keep trying?


Ke Mana Hilangnya Kemanisan Tersebut?


Saya ingin menyebut tentang khusyuk yang lebih umum dalam segenap bentuk ibadah. Kecerahan siang itu semakin kelam kerana bertandangnya malam. Kedinginan malam semakin hilang apabila terbitnya mentari yang memanaskan. Cerahnya siang itu berbeza sama sekali dengan gelapnya malam. Begitu juga ibadah, manisnya hilang bersama nikmatnya maksiat. Nikmat maksiat menenggelamkan rasa manisnya ibadah.


Maksiat. Perbuatan curang seorang hamba terhadap Tuhannya. Tak mungkin maksiat dilakukan kerana Allah kerana ia sememangnya adalah sebuah larangan. Apabila ia dilakukan ganti berganti dengan ibadah, pastilah manis ibadah yang menjadi korban kerana tarikan dan nikmatnya maksiat itu lebih kuat. Khusyuknya solat hilang bersama pandangan syahwat yang dilayangkan pada lawan jenis yang bukan mahram. Indahnya kalam Ilahi tak terasa apabila jiwa sentiasa dipenuhi kata-kata cinta makhlukNya, apatah lagi yang belum halal. Malam terasa begitu sejuk untuk bertahajjud kerana tidurnya dalam murka setelah bermaksiat.


Apabila hati tercemar sedikit demi sedikit dengan maksiat, nikmat ibadah pun hilang. Lama-kelamaan, ibadah itu sendiri ditinggalkan. Bertambahlah maksiat kerana meninggalkan suruhanNya. Maksiat itu pasti meninggalkan bekas dalam hati. Sekalipun kita telah berhenti melakukannya, tetap juga kesannya terasa sangat dahsyat. Kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan inilah yang menyebabkan hati kita sentiasa meronta-ronta untuk kembali melakukannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini juga yang menjadi hijab kepada rasa nikmatnya beribadah. Paku yang tertancap di tiang boleh dicabut, namun lubang dan kesan karatnya tetap tinggal berbekas.


Kembalikan Kemanisannya


Kembalikan rasa nikmat beribadah itu secepat mungkin, sebelum nikmatnya maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah dan mungkin akan terus berpaling daripada Allah. Ketika itu, kita akan menjadi hamba yang rugi serugi-ruginya. Ketika kita berpaling, maka Allah tidak pernah rugi. Lebih malang jika Dia terus membiarkan kita tersesat tak jumpa jalan kembali.


Jujurlah dalam menilai dirimu. Akuilah segala maksiat yang telah kita lakukan. Tak perlu diceritakan kepada orang lain. Cukuplah kita mengingatkan hati agar membenci segala kemaksiatan dan berusaha untuk mengembalikan kemanisan ibadah. Setelah kita dapat mengenal pasti kecurangan kita, berusahalah untuk meninggalkannya dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah agar Allah membantu kita untuk terus taat kepadaNya. Rasulullah mengajarkan doa selepas solat dalam sebuah hadith:


Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Rasullullah SAW mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata: "Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau." Muaz berkata: "Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasullullah SAW; dan demi Allah, aku juga mengasihi engkau." Maka Rasullullah SAW berkata: "Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk mengatakan: "Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu".

( Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i )


Doa yang diajarkan baginda ringkas namun membawa maksud mendalam daripada sudut pengharapan seorang hamba kepada Tuhannya. Mengharap agar Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai dalam menempuh perjalanan menujuNya, dalam melakukan ibadah, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Sungguh indah doa ini, marilah kita sama-sama amalkannya. Berikut lafaznya dalam bahasa Arab:


اللّهمّ أعنّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

( Allahumma A'innii 'Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni 'Ibaadatika )


Apabila laungan takbir tak mampu lagi mengetuk pintu hati dan kalam Ilahi tak bisa melembutkannya, zikrullah tak terasa manisnya dan hidup tak terasa bersamaNya, pasti ada terselit dosa yang terang mahupun sembunyi.


Wahai manusia, yang aku pun termasuk di dalamnya, tinggalkanlah kemaksiatan, perbaikilah ibadahmu dan sabarlah dalam mengerjakannya. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan carilah jalan kembali. Untuk itu, kita perlu bermujahadah melawan hawa nafsu agar Allah memberikan jalan keluar.


"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."

(Al-'Ankabuut: 69)


"Syurga itu dihiasi dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan neraka dihiasi dengan hal-hal yang disukai."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


- Artikel iluvislam.com