Friday, October 15, 2010

RAHSIA DISEBALIK 'QANA'AH'

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,


Assalamualaikum w.b.t,


Semoga penulisan kali ini dapat memberi makanan kepada rohani kita setelah sekian lama ana tidak mengupdate blog ini. kesibukan di bumi IPG memang satu cabaran kepada ana untuk sentiasa istiqamah dalam dakwah dan tarbiah.


Walau bagaimanapun, sebagai seorang hamba kita perlu sentiasa ingat dari mana kita datang? untuk apa kita dihidupkan? dan ke mana kita akan dikembalikan?


justeru, entri kali ini ana ingin kongsikan bersama sahabat semua tentang sifat qana'ah.. mungkin sahabat-sahabat sudah tahu berkaitan dengan sifat qana'ah ini, namun persoalannya sejauh manakah kita mengamalkannya?? justeru, marilah kita sama-sama telusuri makna disebalik 'qana'ah' dan berusaha untuk mengamalkannya.


QANA’AH ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu


1)kemuliaan pada ketaatan

2) kehinaan pada maksiat

3) kehebatan pada ibadat malam

4) hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong

5) kekayaan pada sifat qanaah.


Qana’ah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)


Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”


Allah Ta’ala berfirman:

Barangsiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia adalah beriman, maka akan Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan akan Kami tunaikan kepada mereka pahala mereka dengan yang lebih bagus dari apa yang pernah mereka kerjakan.(An-Nahl:97).


Amal soleh yang bermaksud perbuatan dan hasil-hasil pekerjaan yang baik dengan Iman, kerana Iman kepada Allah menimbulkan amal yang soleh. Pengakuan iman sahaja belum tentu boleh dibuktikan oleh hasil pekerjaan yang baik.


Di dalam ayat ini juga dijelaskan bahawa di dalam hal amal soleh dan Iman itu samalah kedudukan antara lelaki dan perempuan. Masing-masing sanggup menumbuhkan iman di dalam hati dan sanggup berbuat baik. Maka tidak kurang tanggungjawab perempuan daripada lelaki dalam menegakkan Iman kepada Allah.Mereka dijanjikan Tuhan akan diberi kehidupan yang baik(Hayatan Thayyibah).


Menurut Ibnu Katsir: kehidupan yang baik itu ialah ketenteraman jiwa(walaupun datang pelbagai ganguan dan cubaan).


Satu riwayat pula daripada Ad-Dahhaak ialah rezeki yang halal dan kelazatan serta kepuasan beribadat kepada Allah dalam hidup, serta berlapang dada.


“Dan akan Kami tunaikan kepada mereka pahala mereka dengan yang lebih bagus dari apa yang pernah mereka kerjakan”.


Sesungguhnya segala amalan baik yang kita kerjakan dalam dunia ini, yang bersumberkan iman kepada Allah. Jika difikirkan tidak sepadan dengan pahala dan ganjaran yang akan di terima di akhirat kelak. Amat sedikit yang kita kerjakan itu dan berlipat ganda lebih besar pahala dan ganjaran yang akan kita terima. Kita sekadar melakukan perintah Allah hanya sebatas waktu shaja, padahal pahala yang akan kita terima adalah kekal hingga ke hari akhirat.


Allah Ta’ala berfirman pula :

Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka dibunuh @ mati, pastilah Allah akan memberi mereka rezeki yang baik dan sesungguhnya Allah adalah Dia yang sebaik-baik pemberi rezeki.( Al-Hajj :58)


Hijrah bermaksud pindah iaitu apabila sesorang itu keluar dari kampung halamannya akan tetapi hijrah akan menjadi lain jikalau ia mengharapkan redha Allah dan Rasul dan menjadi ibadat tertinggi.


“kemudian mereka dibunuh atau mati”Mujahidin dan muhajirin itu ada yang mati terbunuh didalam satu peperangan iaitu diertikan sebagai mati dalam jihad.Akan tetapi ada juga yang mati biasa, tidak dalam pertempuran, namun mereka mati jauh dari kampong halaman.”Pastilah Allah akan memberi mereka rezeki yang baik”, yang mati terbunuh dan yang mati biasa, tetapi keduanya dalam keadaan berjuang, pahala yang terima dari Allah adalah sama, Cuma mengurus jenazahnya saja berlainan.


Dihujung ayat ditegaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan sanggup menghargai jasa seseorang akan sama penghargaannya atas jasa orang yang berjuang menegakkan jalan kebenaran dengan penghargaan yang diberikan oleh Allah,Sebab bagi Allah itu jelas, semua tidak ada yang tersembunyi. Sedangkan bagi manusia perbuatan baik itu kerap kali lupa. Dan kalau teringat sekalipun, penghargaannya tidak juga akan sama.


Antara ciri – ciri orang yang mempunyai sifat Qanaah ini ialah mereka mempunyai sifat tidak suka meminta – minta walaupun hidup dalam keadaan miskin dan serba kekurangan.


Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini

RUJUKAN: TAFSIR AL-AZHAR


semoga perkongsian kali ini dapat membawa ana dan sahabat semua untuk muhasabah diri...

Qana'ah..... sejauhmana kita mengamalkannya......


wa'allahualam